Isnin, 19 November 2012

Saat Cinta Itu Datang v2012





*Ulang siar* ~ dari coretan dahulu

“Saat cinta itu datang, aku tak mampu untuk berbuat apa-apa. Tidak juga merelakan tapi tidak juga menafikan kehadirannya,” patah-patah bicara Sa pada aku.

Berat benar ceritanya itu, di satu petang sebegitu di saat kami menghabiskan masa bersama dengan riadah. Dia telah punya segala kebahagiaan yang dia perlukan. Tidak perlu sebab untuk menerima cinta yang berputik. Ini bukan soal takdir dan waktu.

 
“Si dia juga seperti mereka yang lain, perlukan bimbingan dan dorongan. Perlu jiwa yang menyayangi dan perlu kekuatan dari kekuatan yang lain. Aku tak pernah mengambil kesempatan atas kelemahan mereka itu Shimi”, Sa menerangkan lagi.
 
“Tapi aku takut kau semakin jauh dari batas sedar diri kau Sa. Kehendak dan suara hati itu kadang-kadang tidak mampu dikawal. Ia tak semudah kita berkata-kata. Jangan bermain api, nanti kau terbakar diri”, kali ini aku mencelah dan beri penegasan.

“Senanglah kau berkata-kata seperti madah-madah indah dalam novel. Aku yang merasainya, aku yang mengalaminya. Aku tahu aku telah punya dia, tapi tiada niat untuk mengecewakan dan curang. Aku terperangkap dalam permainan yang aku cipta,” Sa melepaskan rasa tidak puas hatinya.

“Sa, aku kawan yang selalu kau luahkan perasaan susah senang. Aku tak mahu kau terbeban dengan perasaan sebegitu yang tidak menjanjikan apa-apa kepastian. Niat murni untuk menolong itu baik, tapi perlu ada batas dan prinsipnya. Pertolongan dan jatuh hati itu dua keadaan berbeza, hati tidak perlu hadir bersamanya. Jangan permainkan hati perempuan Sa. Jangan dilukai hati mereka”, perlahan nada tutur kata-kataku pada Sa.

Ia terhenti setakat itu kerana rintik hujan mencemburui riadah kami. Sa dan aku hanya tunduk diam di tempat berteduh sambil melayani perasaan masing-masing yang sarat. Seperti saratnya langit dengan awan hujan pada petang itu.
Hujan lewat petang itu, aku masih tunduk diam.



*Sambungan*

Belasan tahun aku pencilkan tempat ini dari kamus perjalanan hidup. Kini aku kembali berdiri di tebingan Hudson dan pokok oak yang masih gagah berdiri. Rakaman hidup terus berputar disebalik renungan melihat arus Sungai Hudson yang tenang mengalir.

Itu hari terakhir kami berada disitu sebelum masing-masing berangkat pergi. Aku dan Sa banyak berdiam. Melayan flora dan fauna pada hakikat zahirnya, tetapi penuh jiwa yang gelora.

"Hidup bukan kerana nafsu dan memenuhi keperluan diri semata-mata. Ada di dalamnya perasaan dan jiwa yang tidak dapat diungkapkan. Berbeza tidak semestinya aku tidak mungkin bersama dia, kerana kita sendiri tidak mampu menzahirkan apa yang akan berlaku seterusnya dalam hidup", kata penutup Sa pada saat perpisahan itu.

Aku diam mengiyakan. Aku faham benar perasaan kawan aku itu.

Kerana cinta, manusia boleh jadi apa saja. Magisnya yang tidak dapat dihalang meresap masuk dalam jiwa.  Membenarkan kata-kata puisi Jalaludin Rumi,

Kerana cinta duri menjadi mawar
kerana cinta cuka menjelma anggur segar
Kerana cinta keuntungan menjadi mahkota penawar
Kerana cinta kemalangan menjelma keberuntungan
Kerana cinta rumah penjara tampak bagaikan kedai mawar
Kerana cinta tompokan debu kelihatan seperti taman
Kerana cinta api yang berkobar-kobar
Jadi cahaya yang menyenangkan
Kerana cinta syaitan berubah menjadi bidadari
Kerana cinta batu yang keras
menjadi lembut bagaikan mentega
Kerana cinta duka menjadi riang gembira
Kerana cinta hantu berubah menjadi malaikat
Kerana cinta singa tak menakutkan seperti tikus
Kerana cinta sakit jadi sihat
Kerana cinta amarah berubah
menjadi keramah-ramahan

Berpeluk tubuh disebalik litupan long coat, sekali lagi setelah belasan tahun berlalu aku masih dapat rasakan rintik-rintik hujan disini. Dari dalam poket, aku keluarkan sekeping foto yang dikirimkan oleh Sa. Akulah yang menjadi jurufoto pada gambar tersebut. Saat indah Sa dan dia.

Dibelakangnya tercatat, " Aku tidak pasti bahawa aku patut pasrah atau redha. Aku tidak tahu sama ada aku ikhlas dengan cinta ini atau sekadar menyerah kepada suratan takdir. Pada-Nya aku serahkan dalam ketidakpastian aku patut berada dimana.."


Aku melangkah perlahan. Dalam diri ini aku belajar sesuatu.

Cinta itu tidak semestinya bersatu. Cinta tidak semestinya berakhir dengan keindahan. Punyai cinta tidak semestinya kamu punyai jasadnya. Cinta itu abadi yang tidak dapat dikongsi, bermula dari dalam hati diakhiri dengan mati....




.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...