Rabu, 17 Julai 2013

Kematian itu pasti : kita hanya menunggu giliran



Makam Ayah dan Bonda


Hari ini dan malam ini, hidup ini sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian. Seorang demi seorang sahabat dan kenalan meninggalkan alam yang sementara ini. Sama seperti sebelumnya, ada yang seusia dan ada juga yang lebih muda. Sama ada sakit atau secara tiba-tiba, ia pasti menjemput sesiapapun.

Hari ini aku menerima berita tentang mereka, entah bila kalanya insan lain pula akan menerima berita tentang aku. Terdetik hati ini, memohon agar Allah mengambil nyawa ini dengan penuh pengampunan, kemuliaan dan juga kebaikan dengan kasih sayang-Nya. Kematian itu sesuatu yang haq, yang pasti akan datangnya dan cuma kita yang selalu mengabai dan melupakannya....


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Surah Ali Imran : 185

Suatu kematian, disebaliknya mengandungi kisah tentang kesabaran, ketabahan dan perjuangan meneruskan kehidupan. Mengimbas cerita silam, awal kehidupan ini ini dimulakan dengan cerita kesedihan dari kematian Mak dan Abah yang berselang dalam usia mahu menjadi remaja. Hidup memang perlu diteruskan, walaupun betapa peritnya terkapai-kapai mencari langkah memulakan kehidupan tanpa naungan kasih sayang ibu dan ayah. Tidak mudah sebenarnya bila jasad bermain dengan hati dan perasaan...

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Surah Al-Baqarah : 156

Talqin. Memahamkan dan memberi faham, mengajar atau memberi ingat kepada yang sudah dikuburkan atau masih hidup tentang permulaan perjalanan baru menuju negeri akhirat. Pada hari ini kamu mendengar talqin itu dibacakan kepada mereka, kelak bila tiba harinya talqin itu juga akan dibacakan kepada kamu. Semoga ketika itu, kita berada dalam keadaan yang benar bersedia serta diberi pengampunan oleh-Nya...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat  dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa,  Maha Suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan  siapa yang kecewa. Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar  amaran kepada orang yang masih hidup. 

Ingatlah! Bahawa  sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Maha Besar berkuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap kehadrat Allah Taala.

Wahai SAYA bin IBU SAYA, SAYA bin IBU SAYA, wahai SAYA bin IBU SAYA, hendaklah kamu  ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.

Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. 

Ingatlah wahai SAYA bin IBU SAYA, apabila datang  kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir,  maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan  risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah  Taala. 

Apabila mereka menyuruh kamu duduk,  mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:

Siapakah Tuhan  kamu?
Siapakah Nabi  kamu?
Apakah agama  kamu?
Apakah kiblat  kamu?
Siapakah saudara  kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa  bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab  soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah  tenang dan berhati-hati.

Hendaklah kamu jawab  begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan  solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah  saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha  illallah Muhammaddur rasulullah".

Wahai SAYA bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu,  inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan  dibangunkan semua untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah  wahai SAYA bin IBU SAYA, bahawasanya  mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar,bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira  segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada  syurga dan neraka adalah benar.

Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan  semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami  ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah  Taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera  kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah -mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami  Muhammad SAW.

Dunia ini hanya sementara, akhirat jua kekal kita di dalamnya,
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
Surah Al-Ankabut : 64 

Maha Suci Allah, Tuhan Yang Maha Pencipta. Yang menghidupkan dan mematikan semua makhluk, yang memberi hidayah dan peringatan-Nya sama ada kamu sedar atau tidak. Moga kita akan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang dikasihi oleh-Nya.

Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam tersebut .Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba..
Petikan Syair Arab


Aku titipkan nukilan ini sebagai pedoman kepada diri dan sebagai ingatan kepada arwah Mak dan Abah, saudara mara, sahabat handai dan kenalan yang telah pergi meninggalkan aku terlebih dahulu juga kepada kalian yang membacanya semoga di dalam hati sentiasa mengingati mati.
Al-Fatihah


SHIMI
~ Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan ~
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...